Selasa, 3 Januari 2012

Bersangka

Dalam keriuhan kita menyangka kekalutan lalu meminta ketenangan, dalam ketenangan kita menuduh ianya kesepian lalu meminta kembali keriuhan.

Damai

Dalam mencari sebuah kebahagiaan kita sering mengharapkan kedamaian. Sedangkan kebahagiaan itu sendiri perlu dibina dengan perjuangan dan perhitungan sehingga terhamparnya keharmonian dan ketenangan; maka terbinalah sebuah kebahagiaan di laman kasih sayang bertiangkan keikhlasan dan kejujuran.

Nawza Liriaz.

Erti Sebenar

Dalam menilai erti kehidupan kita sering menafikan setiap kekalahan dan kelemahan. Namun itulah sebenarnya yang melengkapkan sebuah erti kehidupan yang penuh dengan kematangan.

Nawza Liriaz.

Dugaan

Bila diri diduga dan diuji, kegelisahan dan kerunsingan sebenarnya musuh utama ketabahan hati. Bersabarlah kerana manisnya bersabar hanya hadir bila bersatunya keredhaan, kepasrahan dan keikhlasan.

Nawza Liriaz.

Menghargai

Menghargai lebih indah dari memuji. Namun memuji itu lebih mudah dari menghargai.

Nawza Liriaz.

Fahami

Kita selalu mengharapkan diri kita difahami dan disenangi; namun kita sering terlupa untuk memahami dan menyenangi; dan terkadang kita terbiasa meminta dan menerima; namun kita sering terlupa dan terleka untuk mensyukuri
dan menghargainya.

Terlupa

Kita sering menilai kebenaran itu sebagai satu kesahihan; sedangkan kita sering terlupa, kebenaran itu hanya hadir bila dapat dibezakan antara kebatilan dan kesahihan.

Kegelisahan

Kegelisahan dan kegundahan adalah penginjak ketenangan dan kedamaian. Namun tanpa keresahan takkan dihargai indahnya kedamaian; dan tanpa kegundahan takkan lengkap adunan rasa perasaaan.

Nawza Liriaz

Kesederhanaan

Kesederhanaan itu menjadikan setiap yang kurang itu mencukupi; dan bersyukur dengan dengan apa yang mencukupi dari kekurangan itu adalah kemewahan.

Sangkaan


Terkadang kita benar-benar memerlukan, bila diminta kita dianggap keterlaluan; dan terkadang kita diberikan dengan sesuatu yang tidak pernah diperlukan, bila dielak kita ditanggap sebagai seorang yang penuh dengan kesombongan; dan terkadang lagi bila kita tidak meminta apa yang diperlukan kita pula dikalungkan dengan gelaran seorang yang penuh dengan sifat kecuaian dan kealpaan.

Nawza Liriaz

Kegembiraan vs Kedukaan


Kegembiraan itu terkadang hadir bila berlalunya kedukaan. Namun kita sering mengharapkan kegembiraan kekal tanpa ada kedukaan; sedangkan kedukaanlah yang menjadikan kegembiraan itu penuh pengertian. Carilah kegembiraan dalam setiap detik kehidupan, agar kedukaan yang hadir mampu dilenyapkan dengan sebuah senyuman dan keredhaan. Sukar, namun ianya satu episod yang perlu dilalui dalam sebuah kehidupan.