Isnin, 3 September 2012

Ingat dan Fikir

Ingat untuk beringat dan beringat untuk ingat. Berfikir untuk fikir dan fikir untuk berfikir. Nawza Liriaz.

Memahami

Memerhati tapi tidak mengerti. Meneliti namun tidak memahami. Nawza Liriaz.

Silap

Setitik kesilapan menenggelamkan selautan kebaikan. Nawza Liriaz.

Benarkan

Benarkan diri menyatakan yang benar dan benarkanlah pada sesuatu yang benar. Nawza Liriaz.

Adat Hulubalang

Sudah menjadi adat hulubalang; selagi gagah berpencak di gelanggang selagi itu dijulang; Pabila jurus tak serasi tari; Di kala itulah dihalau pergi. Nawza Liriaz.

Pilihan

Terkadang kita mengubah apa yang ada pada diri untuk sesuatu yang belum pasti. Sedangkan, apa yang dimiliki lebih dari memenuhi. Akhirnya kita hanya memilih tersenyum sedangkan ketawa telah lama bersila di laman hati. Hakikatnya, kita ibarat mencari pada sesuatu yang telah ditemui dan meminta apa yang telah ada. Nawza Liriaz.

Musuh Pendekar

Apabila bertemu dalam pertarungan dua pendekar; musuh utama adalah takut dan bersangka-sangka; maka itulah bunga dan seni tari mendahuli medan pertempuran agar kenal sifat dan gerak lawan; supaya hilang gentar dan ketakutan. Setelah itu barulah bertari perang, berjurus menggerunkan lawan. Nawza Liriaz

Ilmu Perang

Silat itu nyatanya ilmu perang; Seni sebagai mengalas kekerasan dan kepantasan; Tari sebagai gerak kiasan pukulan; Jurus, pukulan,kilasan dan kuncian itulah luahan dan zahiran pada setiap seni dan tari perjuangan yang hakikatnya menjadi pakaian pendekar dan hulubalang. Nawza Liriaz

Fatani

Fatani itu sifatnya bijaksana; Seninya lembut jurusnya berbisa; Maka setiap sengketa itu dirungkai dengan bicara diusaikan dengan sejahtera. Nawza Liriaz.