Khamis, 11 November 2010

Madah

Andainya Sepi Itu Sebuah Kedamaian; Pastinya
Penantian Itu Satu Keindahan; dan Andainya Cinta Itu Satu Kebahagiaan
Pasti Ianya takkan Dibatasi dengan Pepisahan??

Jumaat, 27 Ogos 2010

Pesan daripada orang tua-tua,


Pesan daripada orang tua-tua,

Dalam senyum ada tegasnya;
Dalam tari ada pencaknya;
Dalam bunga ada buahnya;
Dalam duduk ada jurusnya;

Jangan sampai anak Melayu hilang sabarnya;
Yang disimpan menebar keluar;
Yang tidur berpencak siaga;
Bertempik gegak gempita.

Andai itu terjadi sudah;
Tak guna lagi tiang didiri;
Tak berselera lagi lauk dihidang
Tak lunak lagi bicara berseloka.

Nukilan: Nawza Liriaz

Isnin, 2 Ogos 2010

SEINDAH SENYUMAN – Dedikasi Khas Untuk Mantan KPPA


SEINDAH SENYUMAN – Dedikasi Khas Untuk Mantan KPPA

Seindah senyuman….wajah bersahaja
Wibawa terpancar pada rona wajah juang setia
Baktimu mengunung….bumi megah nusa bahagia
Tegak mu berpadu….. berpencak membela bangsa
Sekelibat gerak mu kami menyusul berarah sekata
Menjadi pedoman anak warga menabur jasa

Kami anak desa ini…..merenung, menilik…..
Menelah setiap tari juangmu
Menelaah setiap hikmah dari butir katamu
Menjadi slogan merentasi waktu
Menjunjung amanah menyulam bakti, membentuk padu.

Kami anak desa pencil ini…takkan lupa luhurnya budi..
Manisnya kenangan merangkul memori.

Di sini di laman ini dan di kala ini
Segalanya kian redup diselimuti sepi
Seolah, anyaman suka ikatan semalam…..hilang diselubungi kabus pagi
Genggaman memimpin susur langkah kami tidak lagi di sisi
Diperhitungan masa kau berlalu pergi

Apakah masih ada lagi anak desa ini dengari?
Alunan suara merdu
Mengalunkan Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi
Atau dendangan lagu Istana Menanti

Sepi….semuanya kian sepi…..
sepi memahat sejuta ukiran bergelar memori

Apa yang pasti kini…
Kau sebenarnya tak mampu lagi kami miliki
Izinkanlah selamanya kau di hati
Menjadi kenangan seribu erti

Indahnya senyumanmu pasti kami rindui.

Nukilan: Nawza Liriaz
23.07.2010

Isnin, 12 Julai 2010

Fatani Nusa Bakti


Fatani itu silatnya berseni, jurusnya bertari, geraknya bernadi;
Fatani itu indah bunganya, berbisa kilasnya, bertapak empat permainannya;
Yang 16 itu langkah geraknya;
Alif tegak mengEsakan yang Ahad, lamalif itu La..menafikan ada Tuhan selain Dia;
Syahadah dalam seni rahsia silatnya;
Berseni tapi berbisa, bersagang tapi berpancang;
Lembut tapi kasar, tampak lemah tapi gagah.


Nawaza Liriaz
13.07.2010

Madah Pendekar


Kata Pendekar "silat itu ilmu sifatnya pakaian diri, amanahnya pertahankan Agama, Bangsa, Maruah diri, Keluarga dan Negara. Silat itu bila sudah sebati pada diri maka jadilah ia pakaian sebati lagi sejati. Maka dikata, yang ada itu seperti nampak tiada, yang tiada itu seperti nampak ada, maka yang ada itu tiada dan tiada itu ada. Maka jadilah silat itu ibarat yang pakai tak pakai, tak pakai itu pakai, maka yang tidak pakai silat itulah pakai"

Melayu Bersatu?


Semakin hari kita lihat semakin banyak pepecahan di kalangan kita yang bergelar Melayu. Kita berpecah kerana banyak perkara dan agenda, pemimpin berpecah kerana politik dan ideologi masing-masing. Ulama' berpecah kerana mazhab dan pegangan serta perbezaan pendapat. Golongan Profesional kerana perbezaan bidang dan keutamaan pandangan dan persepsi. Orang awam, rakyat jelata berbeza kerana mempertahankan ikutan, parti dan ideologi. Bilalah agaknya melayu akan bersatu?

Khamis, 27 Mei 2010

Madah


Apalah guna berpohon rendang kalau tidak berakar tunjang. Apalah guna indahnya ungkapan kalau hadirnya selayang pandang.